Total Pageviews

Pages

Tuesday, April 19, 2022

Assalamualaikum w.r.t..lama x bersua dari tahun 2014 sampai la lo ni dah tahun 2022...tahun.Hari ni 18 ramadhan saja nak update sikit jah lama x nulih dale ni....

Wednesday, January 1, 2014

Assalamualaikum ....
Alhamdulillah...bersua kita kembali pada tahun 2014 ini mudah2an kita akan dirahmati oleh Allah s.w.t....Kadang2 bila kita renung kembali sebenarnya usia kita semakin bertambah dari sehari kesehari hinggalah pada hari ini kita masih dihidupkan oleh Allah.Ya Allah!!!!! Jadikan aku daripada orang yang sedikit...Kenapa nak jadi golongan yang sedikit......pelik kan..Firman Allah s.w.t.."Amat sedikit daripada hambaku yang bersyukur"

Pernah seorang lelaki berdoa kepada Allah  "Ya Allah!!!Jadikanlah kami dari golongan yang sedikit....rupa2nya golongan yang sedikit itu ialah yang bersyukur kepada Allah.Mudah2an kita semua akan termasuk dalam golongan yang sedikit ini.insyaAllah....

Tuesday, September 10, 2013

Assalamualaikum w.r.t...

Alhamdulillahh..syukur kepada Allah s.w.t kerana masih lagi dihidupkan oleh Allah s.w.t pada pagi ini.Allah masih lagi bagi peluang kepada kita pada pagi ini kerana untuk bertaubat kepada Dia kalau ada kesalahan yang kita lakukan dan akan meneruskan kebaikan kalau kita sudah melakukan kebaikan dan meneruskan legasi kecemerlangan...
Pagi ini marilah sama2 kita muhasabah diri insyaAllah.....tetapi adakah kita bahagia pada pagi ini....mari sama2 kita tengok tulisan Oleh: Pahrol Mohamad Juoi :



Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang (lihat sebahagian fakta yang dipaparkan).

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia? Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.”
(An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

Monday, September 2, 2013

Assalamualaikum w.r.t....
lama tidak bersua.Alhamdulillah bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana masih berada di bumi Wataniah.Ana masih lagi mengajar T.6 dan madah yang diamanahkan ialah madah Usuluddin.Ni ada sedikit mengenai dengan matapelajaran Ilmu mantik untuk sem 3........



ILMU MANTIK
1. MANTIK DALAM TRADISI ILMU ISLAM
1.1       TAKRIF ILMU MANTIK:
Takrif dari segi bahasa:
a. Perkataan mantik berasal daripada bahasa Yunani, iaitu Logos yang bermaksud: kata atau fikiran yang benar. Golongan yang memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu ini ialah ahli falsafah Yunani.
b. Mengikut bahasa Arab ia berasal daripada perkataan nataqa (نطق ), yang bermaksud berkata atau bercakap. Ulama Arab juga mengaitkan ucapan dan pemikiran itu sebagai tidak dapat dipisahkan dalam ilmu ini. Ucapan adalah rangkaian yang lahir daripada pemikiran. Manusia sering digambarkan sebagai makhluk yang berbicara atau haiwan yang berkata-kata.
c. Manakala mengikut pengertian kamus Bahasa Melayu dikenali dengan nama logik: Iaitu berfikir benar. Menurut Kamus Dewan halaman ke 951, edisi keempat, logik  bermaksud sains yang berkaitan dengan prinsip yang membolehkan pemikiran dan penaakulan dibuat secara teratur dan bersistem, ilmu tentang cara berfikir atau kaedah berfikir.
Takrif dari segi istilah :
Mengikut istilah pula mantik klasik (muncul sejak kurun ke 6 sebelum masihi)  telah diberi pelbagai pengertian dan maksud oleh mereka yang pakar dalam ilmu mantik. Antaranya ialah:
a. Ibn Sina mentakrifkan Ilmu Mantik ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia daripada tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dengan erti kata lain Ilmu Mantik sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir.
b. Imam al-Ghazali mentakrifkan Ilmu Mantik sebagai suatu ilmu yang dapat membezakan di antara suatu ilmu yang membawa ke arah kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang membawa pemikiran ke arah kesamaran dan salah. Dalam erti kata lain Imam al-Ghazali mengatakan Ilmu Mantik adalah sebagai neraca segala ilmu atau Mizan al-Ilm.  
c. Aristotle pula berpendapat, Ilmu Mantik merupakan suatu ilmu yang merupakan alat serta asas kepada ilmu-ilmu lain. Beliau berbicara menggunakan kesimpulan (Qiyas), bukti dan debat. Beliau juga telah menyusun beberapa kaedah yang boleh menyimpulkan sesuatu secara meyakinkan, dengan itu beliau telah dianggap sebagai penyusun Ilmu Mantik pada zamanya.
d. Menurut pendapat Ibn Khaldun, Ilmu Mantik suatu peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar dengan pemikiran yang salah. Antara lain, mantik berfungsi untuk menjelaskan hakikat sesuatu.   
Pengertian Ilmu Mantik sebagaimana yang diterima oleh majoriti ahli Mantik ialah suatu ilmu yang mengandungi peraturan-peraturan untuk memandu serta mengawal akal pemikiran manusia sewaktu berfikir supaya berfikir dengan matang dan betul mengikut matlamat sebenar .
====================================================================================================================================
1.2       SEJARAH KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN ILMU MANTIK
 MEMERIHALKAN SEJARAH KEMUNCULAN ILMU MANTIK:
Mantik telah muncul secara tidak langsung semenjak kurun ke 6 sebelum Masihi. Contohnya, pada zaman Herakleitos yang dilahirkan di Kota Ephesos pada tahun 489 S.M dan meninggal dunia pada tahun 540 S.M telah menggunakan akal pemikiran yang benar dan logik akal atau Logos untuk mengkaji kuasa yang menguasai hukum dunia dan segala yang menyebabkan berlakunya perubahan terhadap sesuatu unsur. 
Selain dari itu pada kurun ke  6  S.M juga, muncul Pythagoras yang dilahirkan pada tahun 500 S.M dan meninggal dunia pada tahun 580 S.M telah mencipta Teorem Pythagoras.
Teori tersebut digunakan untuk mencari keluasan atau panjang sesebuah segitiga bersudut tegak sekiranya panjang dua sisi lain diketahui. Antara lain Pythagoras juga mencipta Akas Pythagoras yang digunakan untuk menentukan samada suatu segitiga itu bersudut tegak atau tidak. Kedua- dua teori tersebut yang menggunakan kaedah matematik berserta logik akal untuk mencari keputusan.  
Teoram Pythagoras kemudiannya diserapkan ke dalam kaedah Al-Qiyas, iaitu kata-kata yang tersusun daripada dua ayat yang menyebabkan lahir ayat ketiga yang dinamakan natijah. Akas Pythagoras pula diiserapkan  ke dalam kaedah al-Aks, iaitu menukar cerita bagi sesuatu susunan ayat dengan mengekalkan kebenaran hukumnya. Contohnya: Manusia pandai membaca, Akas; yang pandai membaca adalah manusia.
Ekoran daripada itu, ia membuktikan bahawa Aristotle bukan orang yang pertama mencipta ilmu Mantik. Namun beliau bertindak sebagai penyusun dan menyatukannya disamping menambah teori-teori baru. Penyusunan yang dibuat oleh Aristotle itu menyebabkan ilmu Mantik  terus berkembang sebagai kaedah untuk mencari bukti, berhujah serta membuat kesimpulan berdasarkan logik akal dan pemikiran yang benar.        

PERKEMBANGAN ILMU MANTIK DALAM TRADISI  ILMU ISLAM:
            Setiap manusia diberi keupayaan berfikir yang berkembang sejajar dengan pertumbuhan jasmani dan akli. Keupayaan berfikir ini mempunyai pelbagai bentuk bergantung kepada tahap-tahap pertumbuhan yang berlainan. Pemikiran seseorang dibentuk oleh persekitarannya dan ini dapat dilihat pada rupa bentuk dan kaedah tertentu. Dengan kesungguhan seseorang berupaya membina pemikirannya menjadi matang dan bernas sehingga mengatasi pemikiran terdahulu. Semua itu berlaku melalui pentaakulan dan penghujahan.

Aristotle adalah orang pertama memperkenalkan logik sebagai kaedah ilmiah yang tersendiri dan seterusnya menulis tentangnya pada kurun keempat sebelum Masihi. Dengan sebab itu dia dikenali sebagai pengasas mantiq dan guru pertama.

Pada kurun yang pertama Hijrah kaum Muslimin dikenali dengan suatu kaedah mantiq yang tersendiri. Ini sebelum mantiq Aristotle berkembang luas. Mantiq kaum Muslimin dapat dilihat dengan jelas dalam bidang teologi dan prinsip-prinsip perundangan Islam. Dalam kurun-kurun berikutnya kedua-dua bidang ini menjadi bidang keutamaan kaum Muslimin. Mereka mengenal pasti dan menyelesaikan permasalahan agama dengan pertolongan dua bidang ilmu ini, khususnya teologi. Mereka bergantung kepada mantiq bagi membuktikan hujah-hujah mereka, dan bagi memperolehi kesimpulan-kesimpulan yang sahih, tanpa perlu merujuk kepada mantiq Aristotle.

Bidang ilmu yang membicarakan dasar-dasar perundangan adalah hasil mantiq para fuqaha. Golongan Mutakallimun tidak menggunakan mantiq Aristotle hinggalah ke kurun ke-5 hijrah disebabkan kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan dan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan dan keyakinan yang diberikan oleh mantiq mereka sendiri pada ketika itu.

Ramai ilmuwan ulung telah menyumbang bidang mantiq, antaranya al-Kindi, Abu Bishr Matta b. Yunus, al-Qarani, Yahya Ibn Adi al-Nasrani, al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, Bihminyar dan al-Lawkari. Walaupun Ibn Sina tidak menghuraikan sepenuhnya mantiq Aristotle dalam bukunya al-Shifa’, dan tidak menjelaskannya dengan sempurna, dia telah melakukannya dalam buku-buku yang lain, dan dia telah menyampaikannya dengan tepat.

Para filasuf Muslim pada umumnya menghabiskan banyak masa dan usaha bagi menjelaskan masalah-masalah berkaitan mantiq. Sesetengahnya, seperti al-Farabi, Ibn Sina dan Nasiruddin al-Tusi, adalah contoh-contoh yang cemerlang dalam soal ini. Setengah ilmuwan dan pemikir lain seperti Fakhr al-Din al-Razi, Abu al-Barakat al-Baghdadi, al-Qutb al-Razi dan Sadr al-Din al-Shirazi turut memberi sumbangan besar terhadap bidang ini.

Abu Nasr al-Farabi telah menulis suatu kajian yang luas dan lengkap tentang mantiq, walaupun pada hakikatnya beliau hanyalah menulis suatu ringkasan dalam pembicaraannya tentang Organon karya Aristotle. Dia percaya  dengan menggalakkan mantiq seseorang boleh memperbaiki kaedah yang digunakan; jika digunakan dengan betul, seseorang akan dipandu oleh akal ke jalan yang benar dan terpelihara dari kesilapan.

Dia juga percaya bahawa kaitan mantiq dan akan seumpama kaitan nahu dan bahasa, atau prinsip-prinsip ‘arud dengan syair. Beliau menekankan aspek-aspek amali mantiq, dan meletakkan akal di bawah prinsip-prinsip mantiq.

Al-Farabi berhujah bahawa penggunaan khitabah dan jadal, ataupun kejuruteraan dan arithmetik, tidak berupaya menggantikan peranan mantiq kerana mantiq bukanlah ibarat suatu perhiasan yang tidak bermakna. Sebaliknya kecenderungan semula jadi manusia menyebabkannya mustahil ditukar ganti.

Isi kandungan dan unsur-unsur mantiq adalah berkenaan dengan perkara-perkara yang mengkaji prinsip-prinsip yang sahih dalam gerak daya berfikir. Karya yang dipersembahkan oleh al-Farabi dalam bidang syair mempunyai dua aspek. Yang pertama menyentuh keupayaan beliau memahami secara menyeluruh dan tepat mantiq Aristotle yang sudah tersebar ke dunia Arab; yang kedua menyentuh kemampuannya mengasaskan lima seni, yakni lima bentuk hujah.

Pada kurun-kurun ke-5 dan ke-6 Hijrah, Ibn Sina berjaya menjelaskan mantiq Aristotle, meringkas dan mengkajinya, dan menghabiskan masa yang banyak dalam usaha memahaminya. Dalam pendahuluan bukunya beliau ada menyebut tentang mantiq Timur, dan mendakwa ia selaras dengan mantiq aliran Mashsha‘i. Beliau mengajarkan falsafah gaya baru yang cenderung ke arah aliran Aristotle dan Mashsha‘i, menggabungkan kedua- duanya dengan pendekatan kaedah berdasarkan falsafah Neo-Platonik.

Antara karya-karya terpenting sumbangan Ibn Sina ialah Kitab al-Najat yang kemudiannya diterjemah ke bahasa Parsi dengan judul Danishnamah Ala‘i. Ibn Sina menulis buku berkenaan bagi memujuk Sultan Dinasti Kakwayh, dan mempersembahkannya kepada baginda sebagai hadiah.

Sumbangan lain beliau tentang mantiq boleh dilihat dalam al-Nukat wa al-Fawa‘id. Risalah ini tidak diketahui umum sebagai karyanya. Walau bagaimanapun terdapat satu salinan karya ini, di Istanbul. Secara ringkasnya ia merupakan suatu risalah tentang mantiq, fizik dan metafizik. Persoalan-persoalan yang dibincangkan itu juga boleh dijumpai di dalam kitab al-Najat dan juga al-Isharat yang juga merupakan karangan beliau.

Di dalam kitab al-Shifa’, yang dianggap salah satu karya teragung dalam bidang falsafah, Ibn Sina telah menulis suatu bab khusus tentang mantiq. Tajuk bab itu ialah al-Burhan dan ia telah diterbitkan secara berasingan di Kaherah pada tahun 1954 oleh Abdul Rahman Badawi.

Nasruddin al-Tusi juga dianggap ilmuwan besar ilmu mantiq, lebih daripada keahlian beliau dalam perundangan Islam, sains, teologi, falsafah, matematik dan astrologi.

Nasruddin al-Tusi menyatakan bahawa mantiq itu adalah merupakan suatu ilmu dan suatu alat. Tujuannya sama dengan sains yang menyelidiki makna-makna dan sifat. Ia juga seperti suatu alat disebabkan sifatnya seumpama kunci kepada tanggapan dan kefahaman terhadap ilmu-ilmu yang lain. Beliau percaya bahawa ilmu mantiq mampu menghalang akal fikiran daripada terjerumus ke dalam kesilapan dan kekeliruan.

Al-Tusi membahagikan semua ilmu kepada faham (konsep) dan hukum. Beliau berhujah bahawa kefahaman terhadap sesuatu faham itu boleh dicapai melalui takrif, dan manakala hukum pula diketahui melalui qiyas (analogi). Beliau percaya bahawa takrif dan qiyas adalah merupakan alat-alat, dengan menggunakannya seseorang akan memperolehi ilmu.

Qiyas berdasarkan kepada takrif yang diberikan oleh Ibn Sina berbeza daripada takrif Aristotle. Ibn Sina membahagikan silogisme kepada dua: Konjunktif dan ekseptif. Beliau menyempurnakan takrifan itu dengan menggunakan gaya bahasanya yang tersendiri.

Taqiyyuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Abdul Halim, juga dikenali sebagai Ibn Taymiyyah, dilahirkan di Harran pada tahun 661 Hijrah. Dalam bukunya, al-Raddu ala al-Matiqiyyin, beliau merujuk kepada suatu buku yang bertajuk al-Ara’ wa al-Diyanah yang ditulis oleh al-Hassan bin Musa al-Nawbakhti yang mendedahkan dan menjelaskan kesilapan-kesilapan Aristotle dan falsafahnya. Ada permulaan bukunya Ibn Taimiyyah membicarakan tentang istilah ilmu mantiq. Seperti al-Hadd, al-Qawl al- Sharih dan istilah-istilah lain. Beliau juga membicarakan tentang silogisme, yang dibahagikan kepada pembuktian, jadal, khitabah, syair dan safsatah. Di hujung perbahasan tentang silogisme beliau memberikan penjelasan yang begitu cemerlang tentang qiyas dan induksi.

Selepas Ibn Taymiyyah seorang lagi ilmuwan muslim yang terkenal telah muncul, Abdul Rahman bin Muhammad Khaldun al-Maghribi, atau lebih dikenali sebagai Ibn Khaldun. Beliau amat kritikal terhadap mantiq Aristotle dan merupakan seorang tokoh ilmu kemasyarakatan dalam dunia Islam.

Ibn Khaldun membicarakan tentang mantiq dalam beberapa bab bukunya al-Muqaddimah. Beliau melihat persoalan ini dari sudut sejarah dan menjelaskan bagaimana ia muncul dan disebarkan ke seluruh dunia Islam. Beliau mentakrifkan intipati ilmu logik secara tepat dan kemudiannya menjelaskan asas-asasnya dan perbezaan-perbezaan yang berkenaan. Beliau dengan keras mengkritik mantiq Aristotle dan mempertahankan kritikannya itu dalam karya-karya beliau.

Kemunculan Sadr al-Din al-Shirazi pada kurun ke-10 dan ke-11 menandakan kemuncak pencapaian akliah dalam tamadun Islam. Tatkala kelihatan tanda-tanda kejumudan dan keruntuhan, zaman ini membuka jalan kepada kaedah baru dalam ilmu-ilmu akal yang menggabungkan falsafah Greek, falsafah Mashsha‘i, falsafah Iluminasi dan ajaran-ajaran Islam.

Dalam muqaddimah bukunya al-Asfar, beliau membahagikan ilmu kepada dua: ilmu teori yang terdiri daripada mantiq, matematik, fizik dan metafizik; dan ilmu amali yang mengandungi akhlak pentadbiran (ekonomi) dan politik bernegara.

 PERKEMBANGAN ILMU MANTIK DALAM MASYARAKAT ISLAM
 Secara tidak langsung pertapakan dan perkembangan ilmu Mantik dalam masyarakat Islam telah pun lahir seiring dengan perutusan Nabi muhammad SAW lagi. Dimana melalui hadis baginda terdapat penuturan yang sememangnya menggunakan logik dan berita yang diperkatakan semua benar tanpa pertikaaian lagi.
Seterusnya permulaan yang menyebabkan pertumbuhan ilmu mantik dalam masyarakat Islam adalah ekoran perselisihan umat Islam dalam persoalan Imamah (akhir pemerintahan khalifah al-Rashidin dan awal pemerintahan khalifah Umaiyyah) dan telah merebak kepada persoalan akidah yang akhirnya terbentuk puak Khawarij, Syiah dan Ahli Sunnah.
Pada abad ke 2 hijrah muncul ulama mujtahid dari kalangan Tabiin dan Tabi' al-Tabiin yang menggunakan kaedah al-Qiyas dalam ilmu usul Fiqh. Selain itu imam al-Syafie juga telah menggunakan kaedah al-Istiqra' untuk mempastikan tempoh haid yang paling singkat dan yang paling lama terhadap wanita.
Ilmu Mantik mempengaruhi masyarakat Islam adalah ekoran perkembangan ilmu Kalam.Tokoh terkenal tentang ilmu tersebut dan menyokong Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Abu Hassan al-Asy'ary dan Abu Mansur al-Maturidy. Mereka bangkit mempertahankan aliran Al-Sunnah Wal Jamaah dengan menggabungkan dalil akal berserta al-Quran dan hadis untuk berhujah dan mengukuhkan akidah.
Ulama Islam mempelajari ilmu mantik dengan menggunakan hujah dan logik akal adalah untuk berhujah dengan ahli Kitab dan Parsi, berdebat dengan golongan Atheis dan al-Dahriyyun yaang tidak mengakui kewujudan Allah.
Ilmu Mantik berkembang pesat dalam masyarakat Islam pada zaman kerajaan Bani Abasiyyah, khasnya pada masa pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur dan al-Makmun. Ia merupakan kemuncak kepada perkembangan dan penterjemahan buku-buku Yunani dan Ilmu Mantik. Contohnya kitab Organon Aristotle yang berasal daripada bahasa Yunani telah diterjemahkan kedalam bahasa Arab.
Perkembangan dan kegiatan menterjemah buku-buku mantik mencapai kemuncak terutamanya pada masa pemerintahan al-Makmun b Harun al-Rasyid. Antara penterjemah terkenal pada masa itu ialah Hunain b Ishak al-Abdi yang mahir dalam Bahasa Yunani, Bahasa Arab, Syria dan Parsi. Keadaan ini berlaku kerana khalifah al-Makmun adalah seorang khalifah yang sukakan kepada kebebasan berfikir, meminati semua jenis ilmu pengetahuan, khususnya ilmu keagamaan. Beliau sentiasa memberi galakan dan dorongan kepada rakyatnya supaya mempelajari dan mendalami semua bidang ilmu. Beliau juga memberikan ganjaran/upah yang lumayan kepada sesiapa sahaja yang menterjemah atau mengarang buku. Dengan itu ilmu Mantik kukuh berkembang dan menjadi penting.
====================================================================================================================================  
1.3       PERANAN DAN KEPENTINGAN ILMU MANTIK DALAM DALAM BIDANG       KEILMUAN
            (i)         Falsafah
            (ii)        Usuluddin
            (iii)       Usul Fiqh 
            (iv)       Ilmu Bahasa
Peranan Dan Kepentingan Ilmu Mantik dalam bidang - bidang ilmu berilkut:
i.          Falsafah:
1. Menurut al-Farabi - Ilmu Mantik sebagai  ilmu yang membentuk landasan-landasan yang bertujuan dan boleh membentuk pemikiran manusia, sekaligus ia memandu manusia ke arah kebenaran dalam semua lapangan yang difikirkan oleh akal.
2. Ilmu Mantik dan penggunaan logik akal sering digunakan dalam majlis perdebatan dan perbahasan, khasnya untuk berdebat dengan ahli Kitab dan Atheis. Untuk berhujah dengan mereka, umat Islam wajar mempelajari Ilmu Mantik.    
3. Ilmu Mantik sebagai alat untuk menguji lapangan pemikiran daripada kemungkinan berlaku kesilapan.
4. Mendidik kekuatan akal dan mengembangkannya dengan perbahasan dan menghasilkan keputusan.

(ii)        Usuluddin:
1. Ilmu Mantik berperanan untuk mengelakkan terhadap diri seseorang daripada penguasaan nafsu dan naluri dan terlalu berpandukan kepada akal.
2. Ilmu Mantik berperanan untuk memandu seseorang ke arah pengukuhan akidah dan mengakui keEsaan Allah dan meneguhkan keimanan kepadaNya.   
3. Ilmu Mantik menghapuskan bentuk-bentuk pemikiran yang berbentuk karut dan pemikiran yang tidak dapat diterima oleh akal.
(iii)       Usul Fiqh  :
1. Ilmu Mantik memainkan peranan penting didalam Ilmu Usul Fiqh khasnya untuk mengeluarkan hukum syarak, contohnya: Dalil al-Qiyas, Konsep al-Qiyas umpamanya digunakan dalam penetapan hukum, seperti pengharaman terhadap semua jenis benda yang memabukkan. Contohnya Wisky itu memabukkan, semua benda yang memabukkan adalah haram, kesimpulanya Wisky itu haram.
2. Untuk membezakan lafaz al-Am (العام ) dan al-Khas (الخاص ) al-Mutlak (المطلق) dan al-Muqayyad ( المقيد ) dan lain-lain.
(iv)       Bahasa:
1. Ilmu mantik mempunyai hubungan dengan bahasa. Dimana dalam ilmu Mantik terdapat topik perbahasan mengenai al-Qadiyyah. Iaitu ucapan yang dapat dikira benar atau salah tanpa meneliti kepada orang yang berkata. Ilmu Bahasa pula memberi penekanan terhadap lafaz dan makna ucapan tersebut.
2. Ilmu Mantik menitik beratkan inti dan maksud pemikiran yang benar dan bahasa pula menekankan tentang maksud serta ucapan yang betul.
====================================================================================================================================


1.4 POLEMIK TENTANG ILMU MANTIK
            Tentang hukum mempelajari ilmu mantik terdapat berbagai pendapat. Ada yang menerima dan ada yang menolak, samada kalangan ulama terdahulu dan kemudian.  Disini ada beberapa pendapat ulamak dan ahli falsafah islam mengenai hukum mempelajari dan mendalami ilmu mantik :
1) Ulamak yang menolak.
2) Ulamak yang menerima.
1) Ulamak Yang Menolak
a) Ibnu Solah
- Hukum: haram
- Alasan:
·   Ilmu mantik bercampur aduk dengan unsur bidaah dan khurafat.
·   Menilai suasana zaman beliau yang mana masyarakatnya tidak teguh pegangan akidah serta mempelajari ilmu mantik dengan tujuan untuk memutar belitkan fakta.
·   Ilmu mantik pada waktu itu  diambil terus daripada Yunani tanpa mengubahsuai mengikut kehendak islam dan bertujuan bukan untuk mencari kebenaran.

b) Imam Nawawi
- Hukum: haram dan menghukum kafir kepada orang yang mempelajarinya.
- Alasan:
·   Ilmu tersebut tidak benar dengan apa yang digariskan oleh hadis dan al-Quran
·   Beliau mengeluarkan hukum ini melalui penilaian terhadap masyarakat pada zaman beliau yang terdiri daripada kalangan orang yang tidak mendalam tentang ilmu hadis dan al-Quran
·   Ini menyebabkan mereka menggunakan ilmu mantik  untuk mentafsir sesuatu mengikut akal mereka

c) Imam al-Suyuti
- Hukum: haram
- Alasan:
·   Mereka akan terpengaruh dengannya dan mengabaikan bahasa Arab serta al-Quran dan hadis
·   Akan menyebabkan umat islam akan musnah dan rosak serta tersebar perkara bidaah dan khurafat

d) Imam al Syafi’i
- Hukum: walaupun tidak mengharamkan secara lantang namun melalui sikap dan pendirian beliau menjelaskan mempelajari ilmu mantik tidak diharuskan.
- Alasan:
·   Beliau merupakan ulamak yang berpegang kuat dengan hadis dan al-Quran, jadi beliau menolak sumber selain hadis dan al-Quran
·   Beliau juga menolak sebagaimana   mafhum daripada kata-kata beliau iaitu orang arab tidak akan berselisih selagi mereka berpegang teguh dengan bahasa arab dan kaedahnya. Mereka akan berselisih pendapat dan jahil apabila mereka menerima dan cenderung kepada fahaman Aristotle serta semua pemikiran Yunani dan Greek.

e) Ibnu Taimiyah
            Merupakan salah seorang tokoh mujaddid yang menarik masyarakat serta mengajak umat Islam kembali kepada fahaman al-salaf. Atas dasar itulah beliau menolak ilmu mantik khasnya ilmu mantik Aristotle. Pendirian beliau dapat difahami melalui ucapannya iaitu ilmu mantik tidak dapat memberi apa-apa faedah kepada orang yang cerdik dan tidak dapat diambil apa-apa manfaat oleh orang jahil

2) Ulamak Yang Menerima.
a) Ibnu Rusyd
- Hukum: Wajib mempelajari ilmu mantik dengan syarat adalah kearah kebaikan dan tidak bercanggah dengan landasan Islam serta tidak merosakkan akidah seseorang
- Alasan:
·   Berdasarkan dalil-dalil al-Quran yang mengajak manusia supaya menggunakan akal dalam meneliti kejadian Allah dengan menggunakan Al-Qiyas Al-Aqli. Contohnya firman Allah yang bermaksud: " Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya". (Surah al-Hasyr:2)


b) Imam Al-Ghazali
- Hukum: harus
- Alasan:
·   Berdasarkan suasana dan keperluan zaman beliau. Ilmu mantik dan Falsafah begitu luas dipelajari dan digunakan.
·   Ahli falsafah dan puak Muktazilah menggunakan logik akal, ilmu mantik dan kepakaran berdebat untuk menegakkan hujah mereka yang dikira tidak tepat. Contohnya: Puak Muktazilah mengatakan soal mungkar dan nakir di dalam kubur tidak ada.
·   Disebabkan itulah umat islam khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu mempelajari ilmu ini untuk berdebat dan mematahkan hujah golongan tersebut.

c) Al-Farabi
- Hukum: Beliau tidak mengatakan dengan tegas mengenai hukum mempelajari mantik, namun penceburan dan perhatian beliau yang mendalam terhadap ilmu mantik menggambarkan beliau menganggap Mantik sebagai suatu ilmu tidak salah memepelajarinya.
- Alasan dan Pendapat:
·   Menganggap ilmu mantik suatu ilmu yang tidak menjadi kesalahan mempelajarinya
·   Beliau juga banyak menghasilkan karya mantik mengulas mantik Aristotle dan mendapat jolokan dengan gelaran guru mantik kedua selepas Aristotle.
·   Mantik juga ilmu yang penting untuk membantu manusia kearah berfikir dengan benar.
·   Merupakan alat kepada segala ilmu yang paling tinggi berbanding ilimu-ilmu lain.

d) Ibnu Sina
   Pendapat Ibnu Sina sama dengan Al-Farabi iaitu Mantik merupakan alat kepada ilmu-ilmu lain. Mantik juga merupakan kaedah yang membantu fikiran manusia supaya berfikir dengan benar. Bukti Ibnu Sina menerima ilmu mantik ialah melalui karyanya antaranya al-Syifa’ dan al-Najat

e) Ibn Hazm
- Hukum: Beliau menerima ilmu mantik dengan pandangan yang positif. Dimana beliau mempelajari ilmu mantik daripada Ibn al-Kanani atau nama penuhnya ialah Muhammad bin al-Hassan al-Mazhaji
-    Alasan dan Pendapat:
·   Ilmu mantik itu tidak ada sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak.
·   Mantik dikatakan ilmu yang berbentuk khurafat dan bidaah kerana orang yang mempelajari ilmu ini mencampur adukkan dengan unsur yang tidak betul.
·   Ilmu mantik boleh membantu individu dalam mengenal Allah.

f) Jumhur Ulamak
·   Berpendapat mempelajari ilmu mantik hukumnya fardhu kifayah
·   Sekiranya tiada seorang pun orang Islam berminat untuk mempelajari ilmu tersebut, semua orang Islam akan berdosa.
·   Jika ada seorang yang mempelajari ilmu ini, maka semua orang  Islam akan terlepas daripada tuntutan mempelajarinya.

Kesimpulan
      Hukum mempelajari ilmu Mantik adalah harus. Terutama bagi sesiapa sahaja yang mahir dan mendalam dalam pengajian Hadis dan Al-Quran serta teguh dan tetap pegangan aqidahnya  kepada Allah  serta sempurna pemikiran dan akalnya. Kerana dengan mempelajari ilmu Mantik akan membawa seseorang lebih mendalam dan senang memahami Al-Quran dan Hadis.
     
      Walaupun disana ada perbezaan pendapat tetapi sebenarnya perselisihan pendapat tersebut disebabkan ijtihad ulama dengan mengambil kira keadaan masa, zaman dan suasana yang mempengaruhi keadaan mereka dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa. Biarpun pada dasarnya pendapat mereka bercanggah antara satu sama lain. Namun, perlu diingati dan di fahami, tujuan dan matlamat mereka adalah sama. Iaitu menarik perhatian dan kesedaran serta membantu orang Islam seterusnya masyarakat awam yang jahil dengan ilmu keagamaan serta konsep mantik itu sendiri agar tidak terpengaruh dengan suasana di zaman mereka dan sekaligus tidak terpesong akidah dan keimanan terhadap Allah.

=====================================================================
=====================================================================      
1.5 ILMU MANTIK DI MALAYSIA

            Kemunculan ilmu Mantik di Malaysia bermula seiring dengan penubuhan sistem pengajian pondok di Malaysia. Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Ini kerana ilmu mantik diajar di pusat pengajian pondok sebagai salah satu mata pelajaran. Antara kitab mantik  yang digunakan:
1. Kitab Idah al-Mubham
2. Kitab Ma'qulat
2. Kitab Ulam Al Munauroq karya Abdurrahman al akhdori  (943/1536 M),
4. Kitab Risalah Syamsiah karya najmuddin Alqozwini Alkatibi (675/1276 M).
5. Dll
            Seterusnya ilmu mantik ini di ajar di sekolah-sekolah apabila sistem pendidikan moden mula diperkenalkan di Malaysia. Antaranya sekolah  agama rakyat (SAR), sekolah agama negeri (SAN), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seperti mata pelajaran Mantik bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Kitab Mantik STAM:
1. Tabsit Al Mukhtar Min Syarhi Sulam (Asl-Tasawurat) karangan Sheikh Muhammad Ali Muhammad Alim.

Monday, October 1, 2012

Lama tak bersua

Assalamualaikum .....alhamdulillah syukur kepada Allah.... dah hampir 2 tahun doh berada di sini Smkaw Wataniahhh...syukur ya Allahhhh

Tuesday, August 21, 2012

SELAMAT HARI RAYA

Assalamualaikum.....
Ana ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua.........

Tuesday, June 21, 2011

alhamdulillah!!!!

Alhamdulillah,hari ini marilah sama-sama kita bersyukur sebab masih lagi dapat hidup atas muka bumi ini...dapat mandi sendiri lagi sebelum kita dimandikan,dapat berwuduk sendiri sebelum kita diwudukkan oleh orang lain,dapat pakai baju sendiri sebelum dipakaikan baju oleh orang lain dan dapat hidup dengan nikmat Iman dan Islam.

"Comel baju demo"...sahabat bagitau kat ana....itulah asam garam kehidupan...tapi kadang2 pujian itu tidak ikhlas.

Kadang-kadang terasa sunyi bila berada di sekolah baru ni,nak kata baru pun rasanya tak lama dah ,dah hampir 3 bulan lebih...kita masih belum dapat menyelami suasana di tempat baru ni sepenuhnya....tapi alhamdulillah syukur